BERITA SEMASAPMX

PM campur tangan badan kehakiman? Buktikan dulu bukan tuduh – Kamil Munim kepada Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Sehingga hari ini, tiada sebarang bukti menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencampuri urusan badan kehakiman negara, demikian tegas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Kamil Munim.

Menurut Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan, dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Perdana Menteri sedang “mengoyakkan” institusi negara demi mengekalkan kuasa adalah naratif tidak bertanggungjawab dan retorik politik semata-mata.

“Ini adalah naratif jahat yang dirangka secara tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan kepercayaan awam serta mencetuskan ketidakstabilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kamil menyifatkan dakwaan kebebasan kehakiman terjejas selagi Perdana Menteri mempunyai isu undang-undang peribadi sebagai satu kenyataan yang perlu disertakan bukti konkrit, bukan tuduhan rambang.

“Malah, hakikat bahawa Perdana Menteri atau mana-mana individu berjawatan tinggi berdepan prosiding undang-undang sivil adalah bukti jelas kebebasan badan kehakiman negara masih utuh.

“Ia menunjukkan bahawa tiada sesiapa yang kebal di sisi undang-undang dan prinsip kedaulatan undang-undang tetap ditegakkan,” katanya.

Menurut beliau, sistem kehakiman yang bebas akan membenarkan proses undang-undang berjalan tanpa sebarang campur tangan eksekutif, tanpa mengira status atau kedudukan pihak yang terlibat.

Mengulas tindakan Muhyiddin yang menggunakan kenyataan beberapa ahli Parlimen sebagai kononnya bukti bahawa kerajaan sudah hilang sokongan, Kamil menyifatkannya sebagai cubaan menangguk di air keruh.

“Pandangan ahli Parlimen kerajaan terhadap dasar tertentu tidak wajar dilihat sebagai hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri. Malah, ini membuktikan kekuatan sebenar Kerajaan MADANI yang meraikan perbezaan pendapat secara terbuka.

“Ini jauh berbeza dengan pendekatan Muhyiddin dahulu yang menutup Parlimen kerana tidak berani berdepan dengan wakil rakyat pembangkang,” katanya.

Kamil turut menolak dakwaan yang mengaitkan dasar-dasar kerajaan seperti peluasan cukai SST dan kenaikan tarif elektrik sebagai tindakan untuk mengukuhkan cengkaman terhadap institusi negara.

Katanya, dasar tersebut adalah keputusan kolektif kerajaan yang dibuat berdasarkan pertimbangan ekonomi dan keperluan fiskal semasa negara, bukan arahan peribadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, beliau Kamil turut mempertahankan tindakan Perdana Menteri merujuk lapan persoalan Perlembagaan berkaitan prosiding sivil yang melibatkan Muhammad Yusoff Rawther kepada Mahkamah Persekutuan, sebagai satu hak undang-undang yang diperuntukkan.

“Adalah dangkal untuk mengatakan tindakan itu sebagai ‘belum pernah berlaku’ atau ‘konflik kepentingan yang jelas’.

“Kenyataan sebegitu amat memalukan bagi seorang anggota Parlimen veteran yang seharusnya lebih memahami sistem perundangan negara,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button