KJ ditawar ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu
KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia menawarkan jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi kepada Khairy Jamaluddin sekiranya bekas menteri kesihatan itu sudi menyertai partinya.
Muhyiddin berkata, tawaran kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu telah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi Bersatu baru-baru ini selepas beberapa siri tawaran yang dibuat pemimpin Bersatu sebelum ini.
“Hari itu masa dia (Khairy) datang (ke majlis sambutan Aidilfitri) saya tanya dia, Khairy bila lagi? (sertai Bersatu).
“Tapi dia beritahu saya bila jumpa saya, hasrat dia macam ‘cair’. Macam dia tak boleh buat apa-apa.
“Cuma kalau dia setuju sertai (Bersatu), saya nak tawarkan dia kedudukan dalam majlis tertinggi.
“Pasal ni saya dah bincang dengan rakan-rakan saya, kita ada dua kekosongan, jika dia (KJ) setujulah.
“Ini bukan umpan tapi sebab kita tahu dia mampu menyumbang jadi kita tawarkan posisi yang tinggi dalam parti ,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran Khairy di rumah terbuka Aidilfitri anjuran bekas perdana menteri itu baru-baru ini.
Khairy yang juga bekas ahli Parlimen Rembau itu dipecat daripada Umno bersama-sama Ketua Umno Bahagian Tanjung Karang, Noh Omar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen pilihan raya November lalu.
Muhyiddin berkata, walaupun menyerahkan sepenuhnya keputusan mengenai tawaran itu kepada Khairy, beliau berharap Khairy dapat memberikan jawapan secara cepat memandangkan tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin singkat.
“Apa pun kita serahkan keputusan ini kepada beliau, beliau seorang yang pintar dan tahu bila masa yang sesuai.
“Kita juga tak ada gesa tapi jika dia dapat pertimbangkan baik-baik ini adalah masa yang tepat,” katanya.
Muhyiddin ditemui pemberita pada majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan (MASA).
Sebanyak 27 penyelidik menerima geran sebanyak RM10,000 untuk menyiapkan laporan dalam pelbagai bidang bagi tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








