POLITIK

Kemelut BERSATU: Saifuddin kemuka surat tarik balik rayuan pemecatan

Ikut jejak Wan Saiful

CYBERJAYA – Seorang lagi bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menarik balik rayuannya terhadap pemecatan daripada parti itu.

Laporan NST menyebut, bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menjadi individu terbaharu berbuat demikian selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mengambil tindakan sama.

Dalam surat kepada Pengerusi Lembaga Rayuan parti, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu memaklumkan beliau menarik balik rayuan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

“Berikutan penarikan ini, saya berharap pihak lembaga rayuan mengambil maklum dan menghentikan sebarang prosiding atau pertimbangan lanjut berhubung rayuan saya,” katanya.

Saifuddin dipecat daripada parti 6 Januari lalu kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti dan kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Pada November tahun lalu, Saifuddin telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin Bersatu bagi siasatan berhubung dakwaan penglibatannya dalam gerakan untuk menjatuhkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu hari ini, Wan Saiful berkongsi surat yang dihantarnya kepada Pengerusi Lembaga Rayuan mengenai penarikan balik rayuannya.

“BERSATU tidak lagi mempunyai masa depan kerana presiden parti Muhyiddin membenarkan dirinya dipengaruhi oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Wan Saiful dipecat pada Oktober lalu kerana melanggar perlembagaan dan kod etika parti. Beliau telah mengemukakan rayuan awal bulan ini dan membentangkan kesnya di hadapan lembaga rayuan parti.

Beliau bersama beberapa ketua bahagian lain turut dipecat oleh Lembaga Disiplin susulan dakwaan penglibatan dalam “gerakan akuan berkanun” yang bertujuan menjatuhkan Muhyiddin, selain didakwa terlibat dalam kekecohan pada satu acara rasmi, baru-baru ini.

Jumaat lepas, Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 lagi individu yang terdiri daripada pemimpin bahagian dan Ahli Parlimen dan turut dipecat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button