Wan Saiful, lima lagi dipanggil Lembaga Disiplin
CYBERJAYA – Enam pemimpin BERSATU termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dipanggil Lembaga Disiplin parti, esok.
Laporan BH Online yang memetik sumber berkata, mereka yang dipanggil akan disiasat atas beberapa dakwaan termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka didakwa terbabit dalam isu mengumpul SD dalam kalangan ketua bahagian BERSATU di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Laporan itu turut menyebut, prosiding berkenaan dijangka turut menyiasat dakwaan Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU terhadap Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Selain Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal, antara pemimpin lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi dan Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis.
Laporan media sebelum ini menyebut, Lembaga Disiplin BERSATU terpaksa menangguhkan prosiding bagi memanggil beberapa pemimpin parti, berhubung isu SD bagi mendesak Muhyiddin berundur kerana tidak cukup korum berikutan ketidakhadiran seorang ahli panelnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







