Suspek pukul isteri hingga alami keguguran pernah berkahwin sebanyak 9 kali
Sasar wanita berperkerjaan tetap, penjawat awam
ALOR SETAR – Suspek kes pukul isteri hingga parah dan mengalami keguguran di Sungai Petani, minggu lalu disahkan pernah berkahwin sebanyak sembilan kali dan mempunyai 11 anak.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 43 tahun itu juga dipercayai masih mempunyai tiga isteri, manakala perkahwinan terbaharunya dengan mangsa dilakukan di Selatan Thailand.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai modus operandi tersendiri dengan menyasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap, khususnya dalam kalangan penjawat awam.
“Kalau kita tengok, suspek ini cari pasangan yang mempunyai pekerjaan tetap, kebanyakannya kakitangan kerajaan,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Tambahnya, semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, kebanyakannya melibatkan keganasan terhadap isteri dan teman wanita.
Antara kesalahan direkodkan termasuk di bawah Seksyen 325, 323, 318 dan 506 Kanun Keseksaan.
Antara kes yang pernah direkodkan termasuk kes mencederakan isteri di Johor Bahru pada 2021, yang menyaksikan suspek dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun namun kini dalam proses rayuan di mahkamah.
Menurut Adzli, suspek berjaya ditahan pada 4.45 petang semalam di sebuah rumah inap di Alor Setar selepas dipercayai menyembunyikan diri.
Pagi tadi, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibenarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz, empat telefon bimbit serta sebatang besi dan penyangkut baju yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
Polis kini sedang melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
“Dalam kes terbaharu ini melibatkan mangsa yang juga isterinya berusia 39 tahun, juga penjawat awam dipercayai menjadi mangsa penderaan berulang sejak beberapa bulan lalu.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk kiri dan kanan, patah tulang belakang serta lebam di seluruh badan. Lebih menyayat hati, mangsa turut mendakwa mengalami keguguran akibat dipukul suspek,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






