Kertas siasatan kes hospital swasta tahan jasad bayi sudah dilengkapkan – KP Selangor
KUALA LUMPUR – Polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes jasad bayi lelaki yang disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang.
Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kertas siasatan yang lengkap itu masih belum dapat dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kerana pihaknya masih menunggu beberapa dokumen dan laporan daripada pihak hospital.
“Ia membabitkan laporan berkaitan kematian bayi terbabit serta rekod penyimpanan mayat bayi,” katanya memetik laporan BH Online.
Hussein turut enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai dapatan hasil siasatan.
Sabtu lalu, laporan media menyebut seramai 14 individu sudah dipanggil bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan kes terbabit.
Ketika itu, Hussein dilaporkan sebagai berkata, kesemua saksi yang diambil keterangan membabitkan ibu bapa bayi terbabit, doktor dan petugas hospital terbabit.
Pada 13 Disember lalu, polis mengesahkan satu laporan daripada bapa kepada bayi terbabit dan ia diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).
Kisah bayi dinamakan Adham dan meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan menjadi tumpuan apabila jasadnya didakwa ‘ditahan’ di bilik sejuk beku sebuah hospital swasta selama dua minggu selepas bapanya, Safwan Roshdy, tidak mampu melunaskan bil hospital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








