JENAYAH & MAHKAMAH

Dua ditahan bantu siasatan rakan serumah mati dengan 11 kesan tikaman

NILAI – Dua individu ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki dengan 11 kesan tikaman pada badan di sebuah unit pangsapuri di Mantin, di sini, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kedua suspek berkenaan merupakan rakan serumah mangsa dan ditahan di lokasi kejadian, petang semalam.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima satu laporan berhubung kejadian kematian seorang lelaki warga tempatan yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Damai Ria, Mantin.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis menjalankan siasatan awal di lokasi kejadian dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan kes bunuh.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan di lokasi kejadian kira-kira jam 5.15 petang semalam bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek berusia 30-an itu direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 6 Januari depan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan pembabitan individu lain dan siasatan masih berjalan,” katanya lagi.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

“Polis juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di IPD Nilai atau balai polis berhampiran,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button