Pembunuhan lelaki, wanita di Guar Chempedak bermotifkan cemburu
ALOR SETAR – Kes pembunuhan dua individu di Taman Nona, Guar Chempedak, Khamis lalu didapati bermotifkan cemburu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, dalam kejadian itu, suspek berusia 29 tahun berulang kali menetak dan menikam bekas isterinya menggunakan pisau sepanjang 24 sentimeter sehingga menyebabkan kecederaan parah pada dada, leher dan anggota badan.
Menurutnya, mangsa wanita berusia 28 tahun itu diserang kira-kira 20 kali.
Beliau menambah, suspek turut membunuh kekasih wanita berkenaan yang berusia 30 tahun dengan menetak dan menikam dada, belakang dan leher mangsa, termasuk tikaman maut di leher.
“Motifnya adalah cemburu, sampai ke tahap suspek merancang tempat kejadian untuk memerangkap mangsa. Dia percaya kedua-dua mangsa mempunyai hubungan sulit,” kata Baderulhisham ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini.
Baderulhisham berkata, suspek difahamkan berkahwin dengan mangsa wanita pada 2019 di sebuah negara jiran dan mempunyai dua orang anak lelaki berusia antara dua hingga empat tahun.
Beliau turut memberitahu, suspek mempunyai rekod jenayah lampau kerana cuba mencederakan mangsa lelaki dengan melanggarnya menggunakan kereta pada Ogos lalu, di bawah Seksyen 427 dan 323 Kanun Keseksaan.
“Ketika itu, dia dibebaskan dengan jaminan polis, katanya.
Suspek yang melarikan diri sejurus menyerang dua individu tersebut berjaya ditahan di kampung halamannya.
Senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu turut ditemukan semula selepas dibuang ke kawasan semak.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika hukuman mati tidak dijatuhkan.
Laporan media Khamis lalu menyebut mengenai penemuan jasad seorang lelaki dan seorang wanita dengan kesan tikaman di luar sebuah rumah di Taman Nona, Guar Chempedak, kira-kira jam 9.40 malam.
Mangsa lelaki, dikenalpasti sebagai Ku Asyraf Ku Shuib, ditemukan tertiarap di atas jalan, manakala mangsa wanita, Nurul Nur Syamira Khamis, ditemukan berlumuran darah di tempat duduk hadapan sebuah Proton Wira yang diparkir berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






