CYBERJAYA – Seorang pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal setelah dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Ibu mangsa, Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, berkata, anaknya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi kini sedang ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi pihak perubatan, lapor SH Online.
Tanbahnya, keputusan imbasan CT scan mendapati anaknya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli,” katanya.
Susulan kejadian, Siti Muhaini berkata, pihaknya telah buat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam.
Beliau kemudiannya memberitahu, dia dimaklumkan lima pelajar telah ditahan polis untuk siasatan, namun setakat ini masing-masing enggan memberikan keterangan.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.
“Keluarga hanya dimaklumkan pukul 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi.
“Warden kata Irfan jatuh dari tingkat tiga selepas makan mi segera. Tapi dalam laporan perubatan, dalam perutnya langsung tiada sisa makanan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada Ahmad Irfan pernah mengadu mengenai perkara tersebut, Siti Muhaini memberitahu anaknya sentiasa ceria malah aktif di sekolah.
“Sebelum ini dia tidak pernah tunjuk ada sebarang masalah dengan rakan-rakan. Ahmad Irfan memang aktif, dia ada jawatan dalam biro agama asrama,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






