Suami isteri direman bantu siasatan kes bunuh lelaki OKU
KOTA BHARU – Sepasang suami isteri direman bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, Bachok bulan lalu.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun dikeluarkan selama tujuh hari sehingga Jumaat depan, manakala isterinya yang berusia 27 tahun direman lima hari sehingga Rabu ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Jumaat.
Kedua-dua suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 8.45 pagi dengan berpakaian lokap dan bergari sambil diiringi anggota polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pasangan terbabit ditahan di sebuah rumah di Kampung Padang Salim kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.
Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
“Suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau dan pasangan suami isteri ini merupakan rakan kepada mangsa.
“Kita akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” memetik Buletin TV3 online.
Pada 15 April lalu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, dilaporkan maut dipercayai akibat dipukul.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian kira-kira jam 12.55 pagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















