Jasad wanita ditinggal tepi jalan ada 61 kesan tikaman – Polis
KOTA BHARU – Jasad wanita yang ditemukan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini tengah malam tadi, dipercayai mati akibat ditikam sebanyak 61 kali.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pemeriksaan awal pasukan forensik menemukan sebanyak 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa bermula dari bahagian muka hingga ke kaki dengan kebanyakan kecederaan tertumpu pada bahagian kanan badan.
Menurutnya, mangsa juga memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘Syaa’, seutas rantai tangan pada pergelangan tangan kiri dan sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.
“Wanita itu turut berpakaian baju lengan panjang warna hitam saiz XL dan seluar panjang hitam tanpa jenama saiz XXL.
“Pemeriksaan di tempat kejadian turut menemukan beberapa barangan lain antaranya seutas manik berwarna-warni, cermin mata dan sehelai selendang,” katanya, hari ini.
Beliau bagaimanapun memberitahu, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mangsa.
Menurutnya, Unit Anjing Pengesan (K9) telah digerakkan bagi tujuan pengesanan di sekitar lokasi dalam radius kira-kira 30 meter.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum jasadnya dibuang di kawasan tersebut.
“Tempat kejadian merupakan kawasan sawah padi yang gelap tanpa pencahayaan lampu jalan dengan jarak kira-kira 47 meter dari rumah penduduk terdekat,” katanya lagi.
Beliau berkata, jasad mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk dibedah siasat.
Menurutnya, identiti wanita itu berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








