Kes tikam di sekolah: Polis rampas dua senjata tajam dipercayai digunakan suspek
PETALING JAYA – Polis merampas dua senjata tajam dipercayai digunakan suspek dalam kes tikam yang menyebabkan seorang remaja berusia 16 tahun terbunuh di sebuah sekolah di Bandar Utama, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, mangsa cedera akibat tikaman di beberapa bahagian badan dipercayai menggunakan senjata tajam.

“Kejadian itu disedari guru yang terdengar jeritan dan cuba untuk membantu mangsa tetapi kejadian (tikaman) sudah berlaku. Mangsa dan suspek adalah pelajar di sekolah sama namun berbeza tingkatan.
“Bagaimanapun punca kejadian masih dalam siasatan lanjut dan senjata tajam yang dipercayai digunakan suspek juga sudah dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya, hari ini.
Tambahnya, mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian dihantar ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Menurutnya, suspek juga sudah ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kejadian itu tidak membabitkan mangsa lain yang cedera, hanya membabitkan seorang mangsa saja. Kita akan dapatkan permohonan reman terhadap suspek, esok untuk siasatan lanjut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





