SPRM, ATM meterai kerjasama strategik banteras rasuah
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengukuhkan kerjasama strategik dalam membanteras jenayah rasuah
Kerjasama itu dimeterai menerusi Nota Kerjasama bagi memperkasakan integriti, meningkatkan perkongsian maklumat, memantapkan tatakelola serta pembudayaan nilai antirasuah.
Nota Kerjasama tersebut ditandatangani oleh Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin bersama Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman, dengan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman di Ruang Perkasa, Markas ATM, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts. Badarudin Taha serta Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Nur Hafis Abdul Karim.
Kerjasama tersebut menjadi platform strategik untuk memperkukuh usaha pencegahan rasuah, meningkatkan perkongsian maklumat serta memantapkan tatakelola dan akauntabiliti organisasi.
Selain itu, pemeteraian Nota Kerjasama itu juga menyatakan hasrat positif kedua-dua pihak dalam mengukuhkan hubungan erat menerusi pertukaran kemahiran, pelaksanaan latihan dan kursus bagi meningkatkan kapasiti serta keupayaan pegawai kedua-dua organisasi.
Terdahulu, Abd Halim turut mengadakan pertemuan bersama KPPP dan melawat fasiliti Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), diikuti dengan kunjungan hormat ke atas PAT.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







