JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja 16 tahun diselamatkan, dua lelaki ditahan polis kes eksploitasi seks

KANGAR – Polis menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun selepas dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks oleh sindiket pelacuran yang mempromosikan kegiatan itu menerusi aplikasi media sosial di Arau, semalam.

Dalam operasi Op Noda pada pukul 11.15 malam, polis turut menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, operasi itu dijalankan susulan maklumat dan risikan polis mengenai kegiatan pelacuran yang membabitkan eksploitasi kanak-kanak di kawasan berkenaan.

“Hasil serbuan, polis menahan dua lelaki berkenaan yang disyaki menjalankan promosi aktiviti pelacuran menggunakan aplikasi MiChat dan mengeksploitasi mangsa secara seksual.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button