BERITA SEMASA

Dakwaan AS mahu jatuhkan BN: Polis ambil keterangan Hadi Awang dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya bahawa beliau pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

“Setakat ini, sebanyak 12 laporan polis diterima mengenai isu ini dan 12 saksi telah dirakam percakapan.

“Rakaman percakapan Abdul Hadi akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Masyarakat turut digesa supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button