Dakwaan sogokan pengundi: Polis buka kertas siasatan
SEREMBAN – Tiga kertas siasatan dibuka polis termasuk satu membabitkan dakwaan sogokan kepada pengundi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sepanjang tempoh pemantauan pilihan raya.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sepanjang tempoh 18 hingga 28 Julai lalu, pihaknya menerima 62 laporan dan membuka 19 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya.
Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berhubung kesalahan penyogokan susulan laporan yang dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun semalam.
“Mengikut laporannya, dia mendakwa menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang memaklumkan seorang calon parti menerima maklumat mengenai seorang individu tidak dikenali didakwa akan memberi wang sebagai sogokan kepada ‘pengundi putih’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Alzafny berkata, pihaknya turut membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.
“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(a)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
“Ia kerana menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan maklumat berkaitan pilihan raya melalui media sosial yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Mengulas lanjut, Alzafny berkata, pihaknya menerima 76 permohonan permit semalam bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik dan semua permohonan itu diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.
“Secara kumulatif, bagi tempoh 18 Julai lalu hingga semalam, sebanyak 638 permohonan permit diterima dan 612 daripadanya diluluskan.
“Setiap program dan aktiviti politik yang diluluskan akan dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















