POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Zaifulbahri kesal dakwaan video fitnah, seru kempen dijalankan secara beretika

REMBAU – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris melahirkan rasa kecewa terhadap penyebaran sebuah video yang didakwa memutarbelitkan kenyataan seorang penduduk kampung sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.

Menurut beliau, video yang tular itu bukan sahaja mengelirukan, malah didakwa memanipulasi luahan seorang individu dikenali sebagai Laili demi kepentingan politik pihak tertentu.

“Saya sedih bukan kerana dikritik oleh Laili, tetapi sedih melihat ada pihak yang sanggup memutarbelitkan luahan orang kampung.

“Saya sudah lama menjaga kebajikan penduduk kampung seperti keluarga sendiri, namun ada pihak dari luar datang mempergunakan mereka untuk kepentingan diri,” katanya menerusi hantaran di platform Threads.

Bersama hantaran tersebut turut disertakan video wanita berkenaan yang mengakui ‘dipergunakan’ individu terbabit untuk memburukkan Zaifulbahri.

“Saya ingat dia saja-saja sembang dengan saya, dia terbalikkan fakta rupanya.

“Bukan maksud saya tujukan pada YB Zaiful. Saya cakap secara umum. Kalau Zaiful, dia okey, semua orang kenal dia. Siapa yang minta semua dapat. Pasar duduk itu pun, dia yang dapatkan,” kata wanita tersebut yang merupakan peniaga di pasar Rembau.

prn negeri sembilan
Tangkap layar video wanita bernama Laili yang menjelaskan semula dakwaan fitnah terhadap Zaifulbahri.

Sementara itu, Zaifulbahri yang mewakili Barisan Nasional (BN) berkata, sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya (PRN) Negeri Sembilan, beliau sentiasa mengingatkan jentera pilihan rayanya supaya berkempen secara berhemah dan mengelakkan sebarang provokasi.

Malah, katanya, rakan-rakan daripada parti lain yang turut bertanding juga mengamalkan etika kempen yang baik dengan menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat untuk membuat pilihan.

“Setiap hari saya berpesan supaya berpada-pada ketika berkempen. Jentera saya sentiasa diingatkan, begitu juga rakan-rakan daripada parti lain yang bertanding. Kami serahkan kepada rakyat untuk memilih.

“Tetapi ada pihak dari luar yang datang hanya untuk menabur fitnah di kampung kami,” katanya.

Beliau turut berharap suasana harmoni dalam kalangan masyarakat Rembau dapat terus dipelihara dan tidak dicemari dengan politik fitnah.

“Kami orang Rembau hidup baik-baik. Jangan rosakkan keharmonian yang telah sekian lama dibina,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung pada 1 Ogos ini, Zaifulbahri akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danizh Nazran Murad bagi saingan di DUN Chembong.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button