PRN Negeri Sembilan: Lebih 22,000 pengundi awal tunai tanggungjawab esok
SEREMBAN – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 akan berlangsung esok melibatkan 22,339 anggota keselamatan dan pasangan mereka.
Jumlah itu membabitkan 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.
Proses pengundian akan berlangsung di 38 pusat mengundi awal di seluruh negeri yang dibuka serentak pukul 8 pagi, manakala waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat mengikut lokasi, lapor BERNAMA.
Antara lokasi pengundian awal ialah Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Pangkalan Udara Sendayan di Seremban serta Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai.
Sementara itu, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kebanyakan kawasan di Negeri Sembilan dijangka cerah pada sebelah pagi, kecuali Port Dickson yang diramal mengalami hujan lebat dan ribut petir.
Hampir seluruh negeri pula dijangka dilanda hujan lebat pada sebelah petang.
Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN kali ini yang menyaksikan seramai 103 calon layak bertanding.
Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) merekodkan jumlah calon tertinggi dengan 36 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (25) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (24).
Perikatan Nasional (PN) pula menampilkan 11 calon, diikuti empat calon Bebas, manakala Barisan Jamaah Islamiah Semalaysia (BERJASA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















