BERITA SEMASA

Anwar ambil alih pemantauan isu masyarakat India

SEREMBAN – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan beliau akan mengambil alih tanggungjawab memantau semua isu berkaitan masyarakat India secara peribadi selepas menerima pelbagai rayuan dan aduan mengenai cabaran yang dihadapi komuniti tersebut.

Beliau berkata, sebelum ini tanggungjawab itu diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, yang turut menyelia Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Namun katanya, mulai sekarang, semua perkara melibatkan masyarakat India akan dipantau terus oleh beliau.

“Ramanan akan terus melaksanakan tugas serta program yang telah diputuskan kerajaan, tetapi saya sendiri akan memastikan segala isu yang melibatkan masyarakat India diberi perhatian sewajarnya,” katanya memetik laporan FMT.

Terdahulu beliau berucap pada majlis makan malam bersama masyarakat India di sini malam tadi.

Anwar berkata, langkah itu akan memperkukuh penyelarasan dasar melibatkan masyarakat India, termasuk pembiayaan melalui Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, skim jaminan pembiayaan serta pelbagai program pembangunan ekonomi dan kebajikan.
Beliau turut menggesa masyarakat India menilai prestasi Kerajaan Perpaduan berdasarkan rekod pencapaian dan inisiatif yang telah dilaksanakan, bukannya dipengaruhi persepsi atau dakwaan pihak tertentu.

Dalam pada itu, Anwar turut memohon maaf berhubung penggunaan istilah “kuil haram” ketika membincangkan isu rumah ibadat sebelum ini.

“Semenjak saya menjadi Perdana Menteri, saya tidak pernah merobohkan walaupun sebuah kuil lama. Memang ada peraturan. Jadi jika saya menyebut kuil itu haram, saya perlu memohon maaf. Itu adalah kesilapan dari sudut teknikal dan saya menerima kesilapan tersebut,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button