‘Negeri Sembilan solid’ – Manivanan sangkal dakwaan pengundi India menjauhi PH
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Manivanan Gowin menyangkal dakwaan bahawa masyarakat India semakin menjauhi gabungan itu seperti yang dilaporkan menerusi satu kajian oleh Ilham Centre.
Beliau berkata, dapatan kajian atau survei yang dijalankan mana-mana pihak perlu dihormati, namun situasi sebenar yang dilihatnya sepanjang tempoh berkempen menunjukkan gambaran berbeza.
Menurutnya, sokongan masyarakat India terhadap PH di Negeri Sembilan masih kukuh, malah turut disertai sokongan daripada masyarakat Cina, Orang Asli dan Melayu.
“Mungkin dapatan itu berdasarkan satu survei atau risikan tertentu, tetapi bagi saya yang turun sendiri bertemu rakyat, keadaannya jauh berbeza.
“Kita tahu apa yang rakyat mahukan dan perlukan. Jadi untuk mengatakan masyarakat India semakin jauh daripada PH, saya rasa itu tidak tepat,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika ditemui selepas Ceramah Grand Finale PH DUN Jeram Padang malam tadi.
Manivanan mengakui terdapat beberapa isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India, namun percaya perkara itu dapat ditangani oleh kerajaan.
“Memang ada isu yang tidak dapat dinafikan. Perdana Menteri sendiri telah meminta maaf dan perkara yang dibangkitkan akan diselaraskan dalam masa terdekat.
“Masyarakat India memahami terdapat kekangan tertentu dan ada isu yang telah berlarutan sekian lama,” katanya lagi.
Beliau berkata, PRN Negeri Sembilan membuktikan bahawa PH masih mendapat keyakinan rakyat pelbagai kaum berdasarkan sambutan yang diterima sepanjang kempen.
“Saya nampak sendiri sokongan masyarakat India, masyarakat Cina dan masyarakat Orang Asli yang sangat baik.
“Malah saya juga terkejut dengan sokongan daripada masyarakat Melayu kerana kita masuk bertanding dengan ikhlas dan membawa agenda serta manifesto yang berjiwa rakyat,” katanya lagi.
Tambah beliau, faktor itu menjadi pembeza utama antara PH dengan pihak lawan dalam usaha meraih sokongan pengundi.
Sehubungan itu, Manivanan menegaskan dakwaan bahawa masyarakat India di Negeri Sembilan semakin menjauhi PH tidak menggambarkan realiti sebenar di lapangan.
“Kalau ada survei yang mengatakan orang India telah jauh daripada PH, saya boleh katakan di Negeri Sembilan, kita masih solid,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















