Kerajaan akan bantu jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman dalam aspek pembangunan – Gobind
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membantu perkara-perkara yang dibangkitkan oleh jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman di sini , kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata, perkara itu antara yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam
perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa kuil itu, Tan Sri R. Nadarajah dan ahli jawatankuasa yang lain.
Kata beliau, ia termasuk usaha memudahkan pembinaan sebuah dewan baharu yang akan berfungsi sebagai pusat komuniti untuk semua.
“Dalam perbincangan tersebut, Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor bagi membantu dalam perkara perkara yang dibangkitkan oleh jawatankuasa kuil.
“Lawatan Perdana Menteri ke Batu Caves hari ini menegaskan komitmen beliau dalam membina sebuah negara yang bersatu dalam semangat Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan susulan kunjungan Anwar ke lokasi sambutan Thaipusam terbesar di Batu Caves itu hari ini.
Sementara itu, Gobind berkata, kementeriannya akan menyediakan dua skrin digital gergasi di perkarangan Kuil Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, untuk membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan sambutan Hari Thaipusam.
Pihaknya juga akan menyediakan botol air minuman serta makanan percuma untuk penganut Hindu yang bakal hadir ke perayaan Thaipusam di Batu Caves.
“Ini merupakan antara inisiatif Kementerian Digital dalam membantu masyarakat India di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk meraikan kepelbagaian dan keharmonian rakyat Malaysia,” katanya.
Selain itu katanya, Kementerian Digital bertekad untuk memastikan masyarakat India, termasuk pengusaha perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan anak muda, tidak tercicir dalam ekonomi digital yang berkembang pesat ketika ini.
Gobind yang akan turut serta dalam sambutan Thaipusam di George Town turut mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada penganut Hindu di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








