Kapal bawa bahan berbahaya karam di selatan India
NEW DELHI – Sebuah kapal kargo berdaftar di Liberia, MSC ELSA 3, yang membawa ratusan kontena termasuk bahan kimia berbahaya karam di perairan Kerala, India awal pagi semalam.
Insiden tersebut berlaku kira-kira 38 batu nautika dari arah barat daya Kochi apabila kapal sepanjang 184 meter yang sedang dalam perjalanan dari pelabuhan Vizhinjam ke Kochi, mula condong sebelum karam sepenuhnya.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan India, MSC ELSA 3 membawa sebanyak 640 kontena, termasuk 13 kontena mengandungi bahan berbahaya dan 12 kontena lain berisi kalsium karbida, sejenis bahan kimia yang boleh bertindak balas dengan air laut dan menghasilkan gas mudah terbakar, asetilena.
Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Kerala, A. Jayathilak memaklumkan Pengisytiharan darurat dibuat selepas mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan ancaman pencemaran yang mungkin memberi kesan besar kepada alam sekitar dan penduduk pesisir.
Kesemua 24 anak kapal yang terdiri daripada pelbagai warganegara berjaya diselamatkan oleh Pasukan Pengawal Pantai India (ICG) dan Tentera Laut India.
Komander Perhubungan Tentera Laut India, Athul Pillai berkata, kru terakhir berjaya diselamatkan pada pagi semalam, selepas kapal berkenaan dianggap tidak lagi selamat untuk didiami.
Lebih membimbangkan, kapal tersebut turut membawa 84.44 tan metrik diesel dan 367.1 tan metrik minyak relau yang kini telah mencemari perairan sekitar.
“Tumpahan minyak yang berlaku sedang dihanyutkan arus laut ke arah pantai pada kelajuan kira-kira tiga kilometer sejam,” menurut ICG.
Bagi mengawal situasi, operasi pencegahan dan pembersihan telah dilaksanakan di bawah Pelan Kontingensi Bencana Tumpahan Minyak Kebangsaan.
Kapal ICGS Saksham, Samarth dan pesawat Dornier dikerahkan ke lokasi dengan membawa bahan penyebar minyak dan peralatan pengendalian pencemaran.
Setiausaha Lembaga Pengurusan Bencana Negeri Kerala, Dr. Sekhar Kuriakose pula menasihati orang awam supaya tidak menyentuh sebarang objek hanyut atau tompokan minyak di pantai dan mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 200 meter.
“Sila laporkan sebarang penemuan kepada talian kecemasan 112 untuk tindakan segera,” tambahnya.
Kawasan pantai seperti Thrissur, Kochi dan Alappuzha kini berada dalam pemantauan rapi kerana berisiko tinggi terjejas akibat tumpahan tersebut.
Pihak berkuasa kini memperhebat usaha kawalan dan pemulihan, selain terus memantau rapi situasi bagi mengelakkan kemusnahan alam sekitar yang lebih besar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








