
PUTRAJAYA – Calon pengganti bagi mengisi jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) telah dimuktamadkan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, apa yang lebih penting sebenarnya adalah rombakan yang dilakukan terhadap struktur jabatan itu.
“Sebenarnya yang lebih penting daripada pelantikan Ketua Pengarah J-KOM ialah kita sekarang dalam proses merombak keseluruhan struktur itu.
“Jadi saya rasa itu yang menjadi keutamaan bagi kementerian kerana kita lihat jabatan ini perlu disuai manfaat, diselaraskan semula beberapa tindakan, gerak kerja dan fungsi,” kata Fahmi.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar di kementeriannya, di sini hari ini.
Mengenai calon yang akan mengisi kekosongan tersebut, Fahmi berkata nama individu itu akan diumumkan setelah beberapa dokumen pentadbiran siap diuruskan nanti.
Jawatan tersebut dikosongkan setelah pengarah sebelum ini iaitu Dr Mohammad Agus Yusoff menghantar surat peletakan jawatan pada November lalu.
J-KOM sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas atau Jasa sebelum dijenamakan semula pada 2020 dan diletakkan dalam Jabatan Perdana Menteri (PMO).
Pada Disember 2023, J-KOM dipindahkan ke Kementerian Komunikasi susulan rombakan Kabinet.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








