El Nino : NRES gesa negara ASEAN sedia laporan kebakaran, jerebu
KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menggesa negara-negara di selatan rantau ASEAN mengemukakan pelaporan harian serta tindak balas kecemasan berkaitan kebakaran dan jerebu susulan pengaktifan Tahap Amaran 2 di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan.
NRES berkata pelaporan itu perlu merangkumi kejadian kebakaran, situasi jerebu serta tindakan yang telah diambil oleh negara terbabit bagi menangani ancaman jerebu merentas sempadan.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, gesaan berkenaan dibuat susulan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang meramalkan fenomena El Nino tahun ini lebih kuat berbanding 2025, selain tempoh cuaca kering dijangka berpanjangan.
“NRES memandang serius perkembangan fenomena El Nino yang semakin menguat kerana ia boleh meningkatkan risiko kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut yang luas dan dalam,” menurut kenyataan hari ini.
Tahap Amaran 2 di bawah inisiatif Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan telah diaktifkan pada 3 Ogos lalu.
Susulan itu, negara-negara di selatan rantau ASEAN perlu mengemukakan laporan harian serta maklumat berkaitan tindak balas kecemasan terhadap kejadian kebakaran dan jerebu.
Dalam perkembangan sama, NRES memaklumkan empat kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Kawasan terbabit ialah Kuching, Samarahan dan IPD Serian di Sarawak serta Johan Setia di Selangor.
Bagaimanapun, kebanyakan kawasan lain mencatat bacaan IPU sederhana, manakala keadaan jerebu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menunjukkan tanda beransur baik.
NRES berkata, jerebu yang melanda negara sejak 8 Ogos lalu berlaku susulan fenomena El Nino yang semakin menguat dan Monsun Barat Daya yang menyebabkan taburan hujan berkurangan serta cuaca lebih panas dan kering.
NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus memantau perkembangan cuaca, kualiti udara dan situasi jerebu dari semasa ke semasa.
“Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka dan memastikan pengambilan air yang mencukupi,” katanya.
Maklumat rasmi IPU boleh diperoleh menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) atau aplikasi MyJAS EQMS, manakala maklumat cuaca boleh dirujuk melalui laman sesawang MetMalaysia atau aplikasi myCuaca.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






