BERITA SEMASADALAM NEGERI

Ops Hazard: 4,714 tan e-waste bernilai RM23.79 juta dirampas

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan komitmen untuk memastikan Malaysia tidak menjadi lokasi pelupusan sisa haram apabila berjaya merampas sebanyak 4,714 metrik tan sisa elektronik (e-waste) bernilai lebih RM23.79 juta menerusi Ops Hazard 1.0 hingga 3.0 yang berakhir pada 8 April lalu.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, operasi bersepadu yang dilaksanakan secara berfasa di seluruh negara itu turut menyaksikan serbuan ke atas 104 kilang di 11 negeri, selain pengeluaran sebanyak 214 kompaun terhadap premis yang didapati melakukan kesalahan alam sekitar.

Menurut beliau, Ops Hazard 1.0 memberi tumpuan kepada pengesanan aktiviti haram termasuk membongkar stor simpanan e-waste di kawasan industri terpencil serta mengenal pasti rantaian pelupusan tanpa permit.

“Dalam operasi itu, sebanyak 17 kompaun bernilai RM34,000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, manakala nilai sabitan mencecah RM193,000,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, Ops Hazard 2.0 pula diteruskan bagi mengekang kegiatan pemprosesan buangan terjadual secara haram dengan pemeriksaan ke atas 69 premis serta pembukaan 42 kertas siasatan di bawah akta sama.

“Sebanyak 75 kompaun bernilai RM150,000 telah dikeluarkan, sekali gus menunjukkan keupayaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bukan sahaja membanteras pelupusan haram di luar premis, malah memperkukuh disiplin pengurusan dalam kilang,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, JAS turut mengeluarkan 101 kompaun bernilai RM202,000 sepanjang operasi berkenaan sebagai bukti ketegasan penguatkuasaan kerajaan dalam memelihara kelestarian alam sekitar.

Arthur berkata, langkah tersebut selari dengan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang memperuntukkan hukuman lebih berat termasuk denda sehingga RM10 juta atau penjara terhadap pesalah.

“NRES akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi menutup ruang kepada dalang aktiviti haram serta memastikan setiap sisa domestik diurus secara bertanggungjawab demi melindungi kesihatan awam dan ekosistem,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button