Bagasi berisi e-waste dari China ditahan di KLIA
SEPANG – Sebuah bagasi seberat kira-kira 20.8 kilogram yang mengandungi komponen elektronik disyaki buangan terjadual ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Penemuan itu dikesan selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Cawangan Sepang menerima maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA mengenai sebuah bagasi yang dipercayai membawa masuk buangan e-waste dari China.
Hasil pemeriksaan mendapati bagasi berkenaan mengandungi sejumlah komponen elektronik dipercayai cip litar bersepadu (IC Chips) yang dibungkus menggunakan plastik lut sinar berwarna putih.
Berdasarkan pemeriksaan awal, kandungan tersebut berpotensi diklasifikasikan sebagai Buangan Terjadual SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Susulan itu, pihak AKPS menahan seorang individu yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan sebelum membawanya ke Pejabat JAS Cawangan Sepang untuk rakaman percakapan.
“JAS turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 34B(1)(b), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana disyaki mengimport buangan terjadual tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling.
“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
JAS Selangor menegaskan komitmen untuk terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pencemaran alam sekitar boleh membuat aduan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel aduan_k@doe.gov.my serta portal e-Aduan JAS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








