JENAYAH & MAHKAMAH

Timbalan Ketua Pengarah JAS mengaku tidak bersalah enam pertuduhan rasuah

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pengara(Pembangunan dan Operasi) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norhazni Mat Sari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste).

Tertuduh, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Norhazni didakwa menerima wang berjumlah keseluruhan RM21,000 daripada seorang pengarah syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengannya antara April 2022 hingga Julai 2024.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Norhazni didakwa menerima wang berjumlah RM1,000, RM1,000 dan RM2,000 masing-masing pada 18 April 2022, 4 Februari 2023 dan 20 Februari 2023.

Kesemua transaksi itu dilakukan melalui pindahan ke akaun milik anaknya oleh seorang pengarah syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa menerima RM2,000 dan RM5,000 pada 8 April 2023 serta 22 Ogos 2023 melalui kaedah sama, iaitu pemindahan wang ke akaun anaknya daripada individu yang sama.

Sementara itu, bagi pertuduhan keenam, Norhazni didakwa menerima jumlah terbesar iaitu RM10,000 pada 19 Julai 2024, menjadikan keseluruhan wang yang diterima sebanyak RM21,000, dipercayai mempunyai hubungan dengan urusan rasmi beliau.

Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta arahan menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Mei depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam mengesahkan bahawa tindakan pendakwaan tersebut diteruskan selepas mendapat persetujuan daripada pihak Pendakwa Raya dan Pejabat Peguam Negara.

Beliau menyatakan bahawa persetujuan tersebut membolehkan pertuduhan dilakukan terhadap kedua-dua pegawai tinggi itu mengikut jadual yang ditetapkan.

Sebelum ini, kedua-dua pegawai berkenaan ditahan di bawah Akta SPRM 2009 kerana disyaki terlibat dalam amalan rasuah berkaitan pengurusan e-waste di dalam negara.

Siasatan terhadap kes tersebut telah dimulakan sejak awal tahun ini susulan beberapa pendedahan berhubung isu pengurusan sisa berkenaan.

Selain itu, Norhazni turut dijadualkan akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam pada Isnin depan bagi menghadapi satu lagi pertuduhan tambahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button