SPRM sifatkan laporan Bloomberg mengelirukan, tidak berasas
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan laporan Bloomberg yang mengaitkan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki dengan isu pemilikan saham, sambil menyifatkan laporan berkenaan sebagai mengelirukan serta tidak berasaskan fakta.
Menurut kenyataan SPRM, laporan tersebut bukan sahaja mencemar imej dan reputasi Ketua Pesuruhjaya malah secara tidak wajar mengaitkan suruhanjaya itu dengan dakwaan salah laku yang berpotensi menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap badan penguat kuasa berkenaan.
SPRM menjelaskan bahawa pengisytiharan harta bagi penjawat awam tertakluk kepada prosedur dan tadbir urus pentadbiran yang ditetapkan di bawah kerangka perkhidmatan awam serta dibuat melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa, termasuk pengisytiharan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkaitan sumber pendapatan, pemerolehan dan pelupusan aset termasuk saham,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, gambaran seolah-olah wujud kegagalan dalam pengisytiharan harta adalah tidak benar dari segi fakta dan memberi persepsi mengelirukan terhadap kerangka integriti serta tatakelola yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam secara keseluruhan.
Sehubungan itu, SPRM menegaskan komitmennya untuk terus menegakkan prinsip amanah, integriti dan ketelusan dalam melaksanakan tugas-tugas statutori yang diamanahkan, selain tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menjejaskan kredibiliti serta kepercayaan awam melalui pelaporan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.
Terdahulu, Bloomberg menerbitkan laporan eksklusif mendakwa Azam memiliki pegangan saham bernilai ratusan ribu ringgit dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, iaitu Velocity Capital Partner Bhd.
Media berkenaan memetik dokumen syarikat yang menyatakan Azam didakwa memegang sebanyak 17.7 juta saham setakat 3 Februari tahun lalu, dengan nilai pasaran semasa dianggarkan hampir RM800,000.
Pendedahan itu menimbulkan persoalan berhubung pematuhan terhadap pekeliling kerajaan yang menetapkan had maksimum pemilikan saham bagi penjawat awam tidak melebihi RM100,000.
Bagaimanapun, Azam dilaporkan menolak dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa pemilikan saham berkenaan tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















