JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM mohon lucut hak wang tunai RM169 juta dikaitkan dengan Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hari ini memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai berjumlah lebih RM169 juta dalam pelbagai mata wang tempatan dan asing milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam permohonan difailkan di Mahkamah Sesyen itu, SPRM diwakili Pendakwa Raya memohon melucut hak wang tunai berkenaan dengan menamakan bekas Setiausaha Politik Ismail Sabri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus dan Perdana Menteri Kesembilan itu sebagai responden pertama dan kedua.

Semua wang tunai yang dimohon untuk dilucutkan hak itu ialah RM14,772,150; SGD$6,132,350 (Dolar Singapura); AS$1,461,400 (Dolar Amerika), CHF 3 juta (Swiss Franc); €12,164,150 (Dolar Euro); Ā„363,000,000 (Yen), Ā£50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600 (Dolar New Zealand); AED 34,750,000 (Emirati Dirham) dan AU$352,850 (Dolar Australia).

Menurut notis yang difailkan, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 selepas SPRM berpuas hati bahawa wang yang disita dan disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan suatu kesalahan mengikut Seksyen 36(2) ASPRM 2009.

Seksyen 36(2) adalah berkaitan dengan kegagalan mematuhi notis yang dikeluarkan oleh SPRM untuk mengisytiharkan harta.

SPRM pada masa yang sama turut memohon perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Laporan media pada 25 Jun lalu menyebut, kesemua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam ā€˜safehouse’ yang dikaitkan Ismail Sabri bakal dilucutkan hak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut dipetik sebagai berkata, pihaknya akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.

Azam turut mengesahkan, kes membabitkan Ahli Parlimen Bera itu juga sudah selesai dan kini bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuat pertuduhan berkaitan jenayah membabitkan Ismail Sabri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button