Bekas pengerusi kuil ditahan kes seleweng RM50,000
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang bekas pengerusi kuil kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana berjumlah RM50,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang pada 2 April lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut pada November 2021 dengan berpakat bersama seorang lagi individu yang telah ditahan bulan lalu.
“Suspek dipercayai mengemukakan invois berjumlah RM50,000 bagi perkhidmatan perundingan berkaitan kerja-kerja pembaikan kuil.
“Bagaimanapun, kerja tersebut dipercayai tidak pernah dilaksanakan dan hanya bertujuan mengelirukan pengurusan kuil,” memetik NST online.
Tambah sumber, siasatan kini tertumpu kepada kuil yang telah wujud sejak 1950-an itu, yang sumber kewangannya bergantung kepada sumbangan penganut Hindu.
Difahamkan, pendaftaran kuil berkenaan telah dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada Oktober 2024 selain didakwa dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran sah.
Situasi itu menyebabkan tiada pemantauan rapi terhadap pengurusan kewangan dan perbelanjaan, sekali gus membuka ruang kepada penyelewengan dana awam.
“Penyelewengan ini dipercayai menjejaskan operasi kuil termasuk mengganggu aktiviti keagamaan serta menghakis kepercayaan penganut terhadap pengurusan institusi tersebut,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dijangka akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














