MyKiosk: KPKT perkukuh tatakelola PBT, perluas inisiatif melalui MyKiosk@Kampus
PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik laporan serta syor penambahbaikan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan inisiatif MyKiosk.
Dalam satu kenyataan hari ini, KPKT memaklumlan hasil siasatan SPRM mengesahkan bahawa tiada sebarang elemen jenayah, rasuah atau salah guna kuasa dikesan dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Justeru itu, KPKT berkata, pihaknya mendukung syor SPRM untuk memantapkan tatakelola khususnya dalam aspek kajian keperluan dan pemantauan bagi memastikan keberkesanan projek untuk jangka panjang.
Jelasnya, walaupun dasar dan peruntukan disalurkan di peringkat Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertindak sebagai agensi pelaksana utama.
“PBT bertanggungjawab sepenuhnya dalam menentukan lokasi yang strategik, melantik peniaga yang layak serta menyelenggara fasiliti MyKiosk.
“Laporan SPRM telah mengenal pasti kelemahan di peringkat ini, khususnya ketiadaan mekanisme pemantauan yang seragam yang menjejaskan penilaian impak projek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, KPKT mewajibkan PBT melaksanakan kajian menyeluruh sebelum pemasangan kiosk bagi memastikan lokasi mempunyai permintaan pasaran yang tinggi sekali gus menjamin kelangsungan perniagaan melalui garis panduan baharu yang dikeluarkan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).
Selain itu, prestasi PBT akan dinilai melalui sistem ‘Lampu Isyarat’ dengan PBT yang gagal mencapai KPI pengisian dan pengoperasian status merah berdepan tindakan pembatalan peruntukan, manakala PBT cemerlang status hijau akan menerima insentif tambahan.
Pemantauan tersebut dilaksanakan oleh JKT dan laporan perlu dikemukakan kepada KPKT setiap suku tahunan.
Dalam pada itu, PBT turut disaran memindahkan unit kiosk yang kurang sambutan ke lokasi lebih tumpuan orang ramai bagi mengoptimumkan penggunaan aset.
Sebagai langkah proaktif menangani isu kesesuaian lokasi, KPKT memaklumkan inisiatif itu turut diperluaskan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi MyKiosk@Kampus bagi menyokong agenda keusahawanan siswa atau belia di kampus.
Sementara itu, KPKT turut memaklumkan sehingga Julai 2025, semakan mendapati kadar pengisian MyKiosk 1.0 mencapai 91.75 peratus manakala MyKiosk 2.0 pula 86.78 peratus.
“Inisiatif ini juga berjaya membantu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara dengan rekod kejayaan peniaga yang meraih pendapatan sehingga RM30,000 sebulan.
“KPKT komited memastikan setiap sen dana awam dibelanjakan secara berintegriti dan memberi impak optimum kepada ekonomi rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








