BERITA SEMASA

Dana RM10 juta Yayasan Bank Rakyat tidak lesap, jana hibah RM1.85 juta – Nazir

KUALA LUMPUR – Dana pelaburan RM10 juta Yayasan Bank Rakyat yang dipersoalkan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa tidak lesap atau diseleweng, sebaliknya menghasilkan hibah berjumlah RM1.85 juta sepanjang tempoh pelaburan.

Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pelaburan berkenaan dibuat mengikut proses tadbir urus dan kelulusan yang ditetapkan, termasuk melalui penelitian serta usaha wajar sebelum keputusan dibuat.

“Pertama sekali saya nak mulakan sidang media ini dengan satu perkara yang paling penting iaitu dana RM10  juta yang dilaburkan oleh Yayasan Bank Rakyat adalah tidak hilang, tidak lesap, tidak rugi walaupun satu sen dan tidak disakau oleh sesiapa.

“Ini perkara yang sangat-sangat-sangat penting. Malah, dana Yayasan yang dilaburkan tersebut telah mendapat keuntungan hibah sebanyak RM1,850,000 sepanjang tempoh pelaburannya,” katanya pada sidang media berhubung isu tuduhan seleweng dana RM10 juta Yayasan Bank Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang menerajui Yayasan Bank Rakyat, pihaknya sentiasa memastikan setiap keputusan pelaburan dibuat berdasarkan prinsip tadbir urus baik serta proses yang sewajarnya.

Nazir turut menafikan dakwaan bahawa beliau menyalahgunakan kedudukan untuk melaburkan dana yayasan dalam sebuah syarikat yang dimiliki abangnya, Datuk Wira Mubarak Hussain Akhtar Hussin.

Katanya, Mubarak bukan pemilik syarikat berkenaan ketika pelaburan Yayasan Bank Rakyat dibuat.

“Abang saya bukan pemilik syarikat itu. Beberapa bulan kemudian, selepas kami melihat pelaburan itu mempunyai potensi, saya berkongsi peluang berkenaan dengan adik saya dan beberapa pihak lain.

“Mereka membuat pembentangan dan adik saya kemudiannya menjadi salah seorang pelabur. Itu tidak bermakna syarikat berkenaan milik abang saya,” katanya.

Nazir berkata, beliau bersedia memberikan kerjasama sekiranya SPRM mempunyai sebarang persoalan berkaitan pelaburan berkenaan dan yakin dokumen berkaitan dapat membuktikan proses yang dilalui adalah teratur.

Beliau turut menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menilai keseluruhan fakta dan bukti sebelum sebarang kesimpulan dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

“Saya yakin dokumen-dokumen yang ada adalah lengkap dan bukti juga ada. Jika ada pertuduhan yang wajar, saya bersedia menghadapinya,” katanya.

Nazir turut berharap pihak Peguam Negara meneliti fakta serta dokumen berkaitan sekiranya kertas siasatan dikemukakan SPRM kelak.

Katanya, perkara utama yang perlu dilihat ialah kedudukan sebenar dana RM10 juta itu, termasuk fakta bahawa pelaburan berkenaan didakwa memberikan pulangan kepada Yayasan Bank Rakyat.

Terdahulu, media melaporkan SPRM membebaskan dua tokoh korporat adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira yang direman bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dan salah guna kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta dengan jaminan.

Suspek bergelar Datuk Wira dibebaskan pada 5 Oktober lalu selepas tempoh remannya berakhir, manakala seorang lagi suspek bergelar Datuk Seri dilepaskan semalam selepas tempoh remannya dilanjutkan selama dua hari.

Menurut sumber, sebelum ini kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 5 Oktober lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button