Tiga beradik maut: Ibu sudah pesan tidak perlu ke sekolah
PONTIAN – Seorang ibu tidak menyangka pesanan supaya tiga anaknya tidak ke sekolah pagi tadi menjadi antara perkara terakhir yang disampaikannya sebelum mereka terlibat dalam kemalangan maut.
Julaiha Munaji, 43, berkata beliau sudah memaklumkan kepada dua anaknya, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufal Raisya, 8, supaya tidak ke sekolah berikutan penutupan semua sekolah di Johor susulan keadaan jerebu.
Bagaimanapun, kedua-duanya tetap berkeras mahu ke sekolah sebelum dihantar abang mereka, Nor Daniel Aiman, 18, yang menunggang motosikal bersama adik-adiknya.
“ Saya dah beritahu tak payah pergi sekolah, tetapi mereka beria-ia mahu pergi juga.
“Apabila sampai di sekolah, saya dimaklumkan kamera litar tertutup (CCTV) merakam motosikal dinaiki mereka sebelum berpatah balik untuk pulang ke rumah,” katanya memetik laporan Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Siraj, di sini.

Menurut Julaiha, jarak sekolah rendah berkenaan dengan rumah mereka hanya kira-kira dua kilometer.
Katanya, dia mengetahui mengenai kemalangan itu selepas seorang individu yang dalam perjalanan ke tempat kerja memaklumkan motosikal dinaiki anak-anaknya terbabit kemalangan kira-kira 200 meter dari rumah.
“Suami dan anak sulung terus pergi ke tempat kejadian sebelum anak-anak dibawa ke Hospital Pontian,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, tiga beradik berkenaan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Parit Haji Sirat.
Julaiha yang mempunyai enam anak berkata, tiada perubahan pelik dilihat terhadap ketiga-tiga anaknya sebelum mereka keluar rumah dan semuanya kelihatan ceria seperti biasa.
“Fikri ada beritahu nak main bola. Dia siap basuh kasut bersih-bersih dan letak di situ sebab nak pakai nanti.
“Puteri pula buat kerja sekolah pada sebelah malam dan menyambungnya lagi pada sebelah siang,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga beradik itu sangat rapat dan masih tidur bersama keluarga pada malam sebelum kejadian.
“Aiman jenis pendiam, tetapi kalau dengan saya dia suka bergurau. Mereka semua rapat.
“Empat bulan lepas saya kemalangan selepas hantar anak ke sekolah. Aiman yang juga anak ketiga banyak membantu saya, termasuk menghantar adik-adiknya ke sekolah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








