JENAYAH & MAHKAMAH

Degil ekori konvoi TPM, ejen hartanah didenda RM4,000

KUALA LUMPUR – Seorang ejen hartanah didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah kerana gagal mematuhi arahan polis ketika mengekori konvoi rasmi Timbalan Perdana Menteri.

Lelaki berusia 27 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lapan bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

pemandu degil
Tangkap layar video tular menunjukkan anggota polis pengiring (dalam bulatan) memberi amaran kepada pemandu Honda CR-V agar tidak mengekori konvoi TPM.

Kes berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tular membabitkan sebuah Honda CR-V yang didakwa berdegil mengekori konvoi polis ketika mengiringi Timbalan Perdana Menteri (I) di Kilometer 48.5 Lebuhraya Shah Alam (KESAS), kira-kira pukul 9.32 pagi semalam.

Kejadian itu mendapat perhatian selepas kenderaan terbabit dilihat terus berada dalam laluan konvoi meskipun sudah diarahkan supaya beredar oleh anggota polis yang bertugas.

BACA JUGA:
Degil ikut konvoi TPM, pemandu Honda CR-V ditahan di KESAS

Tindakan pemandu berkenaan mencetuskan kebimbangan dari aspek keselamatan memandangkan konvoi rasmi yang diiringi polis memerlukan laluan dikawal bagi memastikan pergerakan berjalan lancar dan selamat.

Susulan kejadian itu, polis menahan pemandu Honda CR-V berkenaan sebelum tindakan undang-undang diambil terhadapnya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tindakan terhadap lelaki berkenaan diambil susulan kejadian tersebut.

“Semua pengguna jalan raya hendaklah sentiasa mematuhi arahan anggota polis demi menjamin keselamatan konvoi rasmi dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan pengguna jalan raya supaya memberikan kerjasama kepada anggota polis yang menjalankan tugas, khususnya ketika kawalan pergerakan konvoi rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button