BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Didenda RM5,000, Chegubard tidak layak bertanding PRN Negeri Sembilan

JOHOR BAHRU – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas Mahkamah Sesyen, di sini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadapnya atas kesalahan menerbitkan penerbitan menghasut.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, hukuman itu secara langsung menyebabkan anak guamnya hilang kelayakan untuk bertanding mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, pihak pembelaan menghormati keputusan mahkamah namun akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.

“Ketika prosiding pembelaan sebelum ini, kami memohon supaya jumlah denda dikenakan tidak melebihi RM2,000 kerana hukuman denda RM2,000 dan ke atas boleh menyebabkan seseorang hilang kelayakan untuk bertanding berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan denda RM5,000, Chegubard tidak boleh bertanding. Kita akur dengan keputusan mahkamah dan menghormati keputusan itu, tetapi arahan sudah diberikan untuk kita failkan rayuan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding hari ini.

Muhammad Rafique berkata, Chegubard sebelum ini dijadualkan bertanding pada PRN Negeri Sembilan selepas diberikan kepercayaan oleh Parti Wawasan Negara (WAWASAN) yang kini diterima sebagai anggota Perikatan Nasional (PN).

“18 Julai memang kita nak Chegubard bertanding dan beliau sudah diberikan amanah oleh parti untuk bertanding.

“Namun dengan denda RM5,000, beliau tidak boleh bertanding,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Terdahulu, Hakim Rasidah Roslee menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Chegubard selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Mahkamah mendapati beliau bersalah atas pertuduhan menerbitkan penerbitan berunsur hasutan menerusi media sosial, dua tahun lalu.

Hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan Ke-16 dijadualkan pada 18 Julai, manakala pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.

Berdasarkan pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan satu hantaran di media sosial pada pukul 6.30 petang pada 26 April lalu yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dua individu yang didakwa sebagai taikun judi dengan projek kasino di Forest City.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button