Beri tulang ayam kepada gelandangan: Pempengaruh media sosial didenda RM40,000
KUANTAN – Seorang pempengaruh media sosial didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memulakan penghantaran video menjelikkan yang memaparkan tiga remaja lelaki memberikan nasi bersama tulang ayam kepada seorang gelandangan yang tidur di kaki lima.
Tang Sie Luk, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie, yang turut memerintahkan lelaki itu dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.
Sie Luk membayarnya pada hari sama.
Lelaki itu didakwa menggunakan aplikasi Instagram melalui satu akaun bagi secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang menjelik melampau dengan niat untuk menganiaya mana-mana orang.
Hantaran itu dirakam di Pusat Khidmat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, di Lorong Sekilau 58, Jalan Haj Ahmad, kira-kira pukul 12 tengah hari pada 4 Ogos 2025.
Tertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
OKS juga boleh dikenakan denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Terdahulu, Sie Luk yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum serta memaklumkan bahawa dia sudah insaf dan membuat permohonan maaf.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada lelaki itu dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Mangsa sendiri berkata dia berasa dihina dan marah akibat perbuatan itu.
Menurut Fadhli, perbuatan memberi sisa makanan kepada mangsa bukan bertujuan kebajikan, sebaliknya dilakukan untuk rakaman video media sosial yang jelas menunjukkan unsur eksploitasi penderitaan manusia bagi hiburan dan tontonan awam.
Berdasarkan fakta kes, OKS dan individu dalam video itu dilaporkan memberi tulang ayam kepada seorang gelandangan di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, Johor, sebelum memuat naik kandungan tersebut menggunakan peranti komunikasi miliknya.
Video berdurasi lebih satu minit itu tular di media sosial sebelum ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








