BERITA SEMASADALAM NEGERI

Mekyun kongsi kekal konsisten jadi rahsia kejayaan, terharu nama masih jadi sebutan pensyarah

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial dan graduan cemerlang Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mekyun, menzahirkan rasa terharu apabila menerima mesej daripada pelajar universiti lamanya yang memaklumkan bahawa dirinya masih disebut dan dijadikan contoh oleh pensyarah dalam kelas Integriti, Moral dan Etika.

Dalam hantaran di media sosial, Mekyun meluahkan rasa syukur apabila usahanya semasa bergelar pelajar masih diingati walaupun sudah lama menamatkan pengajian.

“Rasa sangat bersyukur dan tersentuh bila tahu ada pensyarah yang masih ingat dan memuji cara Mekyun bawa diri dulu. Ia betul-betul buat saya terharu,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Mekyun merupakan Ikon Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang wajahnya pernah terpampang di papan iklan utama universiti, melambangkan kecemerlangan akademik dan sahsiah diri.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian dan Diploma Kejuruteraan Elektrik daripada universiti sama.

Sepanjang pengajian, Mekyun menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Naib Canselor, Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik dan disenaraikan dalam Dean’s List hampir setiap semester.

Beliau turut menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang 4.00 (4 Flat) pada tahun akhir.

Selain akademik, Mekyun pernah mewakili Malaysia sebagai ketua kem dalam program pertukaran antarabangsa di Ehime, Jepun, serta menghasilkan projek tahun akhir bertajuk Prediction of Rooftop Photovoltaic Power Generation Using Artificial Neural Network (ANN) yang memenangi pelbagai Anugerah Emas dan Anugerah Projek Terbaik di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Mekyun
Mekyun yang merupakan bekas graduan UTHM dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.

Beliau turut aktif dalam bidang penyelidikan dan penerbitan akademik, dengan artikel diterbitkan dalam International Journal of Scientific Research and Engineering Development serta bab buku dalam Electrical Power and Energy System Series 2 (UTHM Press).

Dalam perkongsiannya, Mekyun menegaskan bahawa kejayaan tidak datang daripada nasib semata-mata, sebaliknya hasil disiplin, kerja keras dan keazaman.

“Ia bukan soal siapa paling bijak, tapi siapa yang konsisten dan tidak putus asa walau penat. Setiap air mata dan pengorbanan membentuk siapa diri saya hari ini,” ujarnya.

Beliau turut menyeru pelajar agar terus fokus mengejar impian, menamatkan pengajian dengan cemerlang serta membanggakan ibu bapa.

“Tiada yang mustahil jika kita berusaha dengan sepenuh hati dan fikiran. Teruslah belajar, berdisiplin dan memimpin dengan keikhlasan,” katanya.

Perkongsian berinspirasi itu menerima pelbagai reaksi positif daripada pengikutnya yang menganggap Mekyun sebagai contoh teladan anak muda yang berjaya melalui kerja keras, integriti dan semangat juang tinggi.

Rekod pencapaian akademik Mekyun semasa menuntut di UTHM.

Perkongsian itu mendapat pujian daripada netizen yang menyifatkan Mekyun sebagai antara ‘role model’ terbaik di negara ini kerana mempunyai kepintaran, peribadi menarik dan sikap baik kepada masyarakat berbilang kaum dan ahli keluarga sendiri.

Hasiana Husain berkata;
Tahniah Mek Yun insan hebat… Moga terus memberi Inspirasi utk anak2 muda terutama pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang akademik

Sukirny Marcella ;
Congrats! This is living proof of beauty with brain!

Nuur Hamiidah Zwr ;
Bkn calang² course mekyun. Sakit otak ooo. Well done mekyun!! Sy rasa pengaruh FAMILY mekyun yg hebat, melahirkan anak yg baik, beradap, cantik dan bijak!!

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button