JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek bunuh isteri dipercayai akibat cemburu, sempat ambil anak di sekolah sebelum serah diri

TANAH MERAH – Tragedi pembunuhan seorang wanita di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini semalam, dipercayai berpunca daripada rasa cemburu dan tuduhan curang yang dilemparkan suaminya.

Suspek yang berusia 63 tahun dikatakan sudah lama mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain sehingga sanggup mendapatkan khidmat bomoh untuk ‘menilik’ kesetiaan wanita itu.

Sepupu mangsa, Razwan Mat Yazid, 30-an berkata, suspek kerap menghubunginya sebelum kejadian kerana mendakwa mangsa menjalin hubungan dengan lelaki lain. Namun beliau menegaskan dakwaan itu tidak berasas.

“Saya beritahu suspek bahawa arwah tidak ada hubungan dengan mana-mana lelaki seperti yang dia sangkakan.

“Arwah bekerja sebagai tukang masak di Selangor dan tidak sempat menjawab telefonnya kerana sibuk bekerja. Bila balik ke Kelantan pun arwah selalu menumpang saya sebab saya bekerja sebagai pemandu lori,” katanya memetik laporan Metro Online,

Razwan berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Tanah Merah, semalam.

Mangsa, Mastura Abdullah, 40, ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam.

Media sebelum ini melaporkan mangsa maut di rumahnya selepas diserang suami.

Bunuh Isteri Kelantan
Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan ketika hadir di perkarangan Unit Forensik Hospital Tanah Merah semalam.

Adik mangsa, Mohd Jony Abdullah, 30, berkata, tiada sebarang bunyi pertengkaran kedengaran ketika kejadian berlaku di bahagian dapur rumah.

“Sebelum kejadian berlaku, adik bongsu menjemput arwah kakak di sebuah stesen minyak di Machang pada pukul 9 pagi, sebelum mereka tiba di rumah kira-kira pukul 10 pagi.

“Tidak lama kemudian, ibu menghubungi saya dan memaklumkan bahawa kakak sudah tiada. Saya bergegas ke rumah kakak dan melihat polis sudah berada di lokasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, suspek dikatakan sempat mengambil anak bongsu mereka berusia 10 tahun di sekolah kira-kira pukul 12 tengah hari, dua jam selepas insiden berlaku sebelum menyerah diri di balai polis berhampiran.

“Lebih menyedihkan apabila anak lelaki arwah yang berusia 10 tahun baru pulang dari sekolah dan melihat ibunya dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button