Kumpulan pecah cermin kereta di Kelantan tumpas, lima individu ditahan polis
KOTA BHARU – Polis di negeri ini menahan lima individu termasuk dua wanita disyaki ahli kumpulan pecah cermin kereta dan curi dalam tiga serbuan berasingan tengah malam tadi.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, semua suspek ditahan di tiga lokasi berasingan jam 12.30 tengah malam di Rantau Panjang dan Pasir Puteh.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan susulan kejadian terbaru jam 7.30 pagi kelmarin di Pasir Puteh membabitkan kerugian lebih RM1,000.
Katanya, menerusi tangkapan berkenaan, polis merampas pelbagai barangan termasuk 18 buah telefon bimbit, 11 beg duit, 41 beg tangan dan beg galas pelbagai jenama dan tujuh utas barang kemas.
“Lima suspek yang ditahan membabitkan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita warga Thailand dengan semua mereka berusia 32 hingga 54 tahun.
“Menerusi tangkapan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah cermin kereta di Kelantan dan Terengganu membabitkan kerugian RM32,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusoff berkata, semakan turut mendapati, tiga suspek lelaki mempunyai rekod jenayah dan dadah manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod jenayah.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati dua suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua suspek direman empat hari,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






