BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak perempuan dilarikan pencuri bersama kereta ketika ibu hantar anak ke taska

SHAH ALAM – Seorang ibu berdepan detik cemas apabila kereta yang ditinggalkan seketika di hadapan sebuah taska di Setia Alam di sini dilarikan pencuri, sekali gus menyebabkan anak sulungnya yang sedang tidur di dalam kenderaan itu turut dilarikan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.55 pagi itu, wanita berusia 34 tahun terbabit yang juga seorang guru tadika, dikatakan keluar sekejap untuk menghantar anak keduanya ke taska berkenaan sebelum terkejut mendapati kenderaan bersama anaknya hilang sebaik keluar dari premis itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada pukul 7.06 pagi sebelum segera melancarkan operasi pencarian.

“Dengan bantuan orang awam, polis berjaya mengesan semula kenderaan itu di kawasan pangsapuri kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 7.45 pagi.

“Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki tempatan, dipercayai hanya mahu mencuri kenderaan tetapi panik apabila menyedari ada kanak-kanak di dalamnya, sebelum bertindak meninggalkan kereta berkenaan dan melarikan diri.

“Suspek sempat melarikan beg tangan milik wanita itu yang mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri serta dua telefon bimbit bernilai kira-kira RM2,000 sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button