Lelaki warga Thailand ditahan, cecair disyaki dadah ‘mushroom’ bernilai RM3,000 dirampas
RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki warga Thailand dan merampas beberapa botol mengandungi cecair disyaki dadah jenis ‘mushroom’ bernilai kira-kira RM3,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gual Periok, di sini, semalam.
Dalam operasi pukul 5.45 petang itu, turut dirampas wang tunai RM600 dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran bahan terlarang berkenaan.
Komander Briged Tenggara, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan hasil risikan yang dijalankan Pasukan Risik dan Task Force Batalion 8 PGA dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
Menurut beliau, seorang lelaki yang berada di dalam rumah berkenaan telah diperiksa namun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemukan tiga botol pelbagai jenis mengandungi cecair disyaki dadah jenis ‘mushroom’ dengan anggaran keseluruhan kira-kira 48 mililiter selain wang tunai RM600.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM3,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selain disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil semakan mendapati suspek dilahirkan di Thailand dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri Malaysia,” katanya.
Siasatan awal turut mendapati lelaki terbabit dipercayai menjalankan aktiviti penjualan cecair berkenaan secara kecil-kecilan kepada kenalan terdekat sejak tahun lalu.

Menurut Ahmad Radzi, suspek mendakwa memperoleh bekalan daripada seorang individu yang dikenalinya menerusi media sosial sebelum dihantar menggunakan perkhidmatan kurier dan dijual semula pada harga lebih tinggi.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













