Polis digesa ambil tindakan segera kes mencemar simbol agama
PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara digesa mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti dan mendakwa pihak yang terlibat dalam mencemar simbol agama, susulan kebimbangan orang ramai terhadap insiden penghinaan ke atas kitab suci dan simbol agama.
Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, yang juga Ahli Parlimen Damansara dan Menteri Digital berkata, polis mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam, satu tanggungjawab asas yang tidak boleh dikompromi.
“Beberapa kes kebelakangan ini melibatkan penyalahgunaan al-Quran adalah amat tidak boleh diterima.
“Tindakan pantas pihak berkuasa untuk mendakwa mereka yang bersalah wajar dipuji dan menetapkan preseden bahawa tingkah laku sebegini tidak akan ditoleransi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan segera juga perlu diambil terhadap sebarang perbuatan ke atas Soolam, simbol suci masyarakat Hindu, bagi menenangkan kebimbangan orang ramai.
“Kegagalan mengambil tindakan dalam kes seperti ini boleh meningkatkan ketegangan kaum.
“Kita mesti mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum, dan cara untuk melakukannya ialah menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya lagi.
Gobind berkata, perkara ini telah dibincangkan dalam Kabinet semalam dan pendirian kerajaan adalah jelas, namun agensi penguatkuasa mesti melaksanakan tindakan sewajarnya.
“Polis mesti bertindak sekarang untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan memastikan keamanan yang telah dibina tidak dicabar oleh pihak yang cuba merosakkannya,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








