BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar madrasah dipukul topi keledar, polis tahan lelaki tempatan

KOTA KINABALU – Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki yang dipercayai dalam kejadian memukul sekumpulan pelajar sebuah madrasah ketika berada di pusat permainan video seperti yang tular hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu dan telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

“Penahanan dibuat atas laporan sengaja mencederakan menggunakan senjata serta penderaan terhadap kanak-kanak yang tular menerusi rakaman video di media sosial.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis telah membuat tangkapan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang awam tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi semua pihak terlibat.

“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.


Kenyataan polis berhubung kejadian pukul sekumpulan pelajar di kafe siber di Kota Kinabalu selepas videonya tular di media sosial.

Sementara itu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan mengambil tindakan segera berhubung kejadian itu.

Pengarahnya, Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, pihaknya telah menggerakkan pasukan untuk turun ke premis berkenaan bagi mendapatkan laporan penuh berhubung kejadian itu.

“Setakat ini maklumat yang diterima, sekolah tersebut mempunyai pelajar seramai 90 orang dan difahamkan pada malam kejadian ada beberapa mereka telah keluar malam untuk ke kafe siber yang terletak sejauh hampir satu kilometer berjalan kaki.

“Jadi menurut tenaga pengajar di sekolah itu mereka bimbang apa yang berlaku namun telah bertindak luar kawalan seperti yang tular itu.

“Bagaimanapun laporan daripada pasukan sedang disiapkan dan hari ini juga kita akan terima dan berdasarkan dapatan tersebut, kita akan bertindak sewajarnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Tambah beliau, tindakan guru berkenaan adalah tidak wajar dan boleh dilakukan dengan pendekatan yang lebih baik, termasuk memberi teguran kepada pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

“Pada saya, disiplin itu tetap disiplin, tetapi tidak sewajarnya sehingga ke peringkat kekasaran. Zaman sekarang mudah sangat sesuatu itu ditularkan. Oleh itu, nasihat kita supaya mana-mana pengusaha tahfiz atau madrasah mendidik secara berhemah.

“Perkara itu boleh diselesaikan dengan lebih baik, contohnya panggil pelajar terlebih dahulu, beri nasihat, dan jika rotan itu biasa tetapi bukannya dengan terajang atau pukul, itu kurang sesuai,” katanya.

Beliau juga menjelaskan walaupun sekolah madrasah tersebut bukan di bawah JHEAINS, pihaknya bertanggungjawab melakukan seliaan selepas program pemutihan dijalankan sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menegaskan pihak pengurusan madrasah perlu mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelajar bermasalah di pusat tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button