
Lelaki cederakan bekas teman wanita diberkas polis
SEBERANG PRAI – Seorang lelaki yang mencederakan wanita dipercayai bekas teman wanitanya di sebuah pasar raya di negeri ini ditahan polis pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asistan Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, suspek yang bertindak mengacukan pisau sehingga mencederakan mangsa ditahan selepas ditahan oleh orang awam.
Katanya, polis menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 8.45 malam, Ahad lalu.
“Dalam kejadian itu mangsa telah diserang suspek dengan menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan pada jari kelingking kanan semasa bergelut.
“Suspek berjaya ditangkap oleh orang awam di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini
Anuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan.
“Tindakan menuduh suspek akan dilaksanakan dengan kadar segera setelah menerima arahan dari timbalan pendakwa raya,” katanya.
Dalam video yang tular di media sosial hari ini, seorang lelaki bersenjatakan pisau mengacukan pisau pada leher seorang wanita.
Suspek dipercayai bertindak demikian kerana masalah percintaan dengan wanita berkenaan.
Orang ramai yang berada di lokasi kejadian dilihat cuba menenangkan suspek sebelum berjaya menghalangnya.
Bagaimanapun, wanita berkenaan mengalami kecederaan berdasarkan tompokan darah yang menitis di lantai pusat beli belah berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








