17 pelancong Malaysia masih tidak dapat dihubungi – Wakil agensi
KUALA LUMPUR – Seramai 17 rakyat Malaysia yang menyertai perjalanan anjuran agensi pelancongan Fishtail Tours & Travels yang berpangkalan di Nepal masih tidak dapt dihubungi susulan banjir kilat dahsyat yang melanda daerah Rasuwa, Nepal.
NST yang memetik kenyataan wakil agensi berkenaan, Roshan Panday sebagai berkata, kumpulan berkenaan melakukan perjalanan bersama dan kali terakhir dikesan berada berhampiran Timure, berdekatan sempadan Nepal-China.
BACA JUGA:
Banjir Nepal-Tibet: Korban cecah 160, 17 rakyat Malaysia antara ratusan masih hilang
17 maut, ratusan hilang dalam banjir kilat, tanah runtuh di sempadan Nepal-Tibet
Beliau memberitahu, seorang rakan sekerja daripada agensi itu kali terakhir menghubungi salah seorang anggota kumpulan berkenaan 8.18 pagi (waktu tempatan) semalam ketika mereka menghampiri sempadan.
Beliau turut mengesahkan kesemua 17 rakyat Malaysia itu melakukan perjalanan bersama ketika hubungan terakhir berjaya dilakukan.
“Mereka melakukan perjalanan bersama. Kesemuanya menggunakan enam kereta, tetapi bergerak bersama,” katanya, hari ini.
Roshan berkata agensi berkenaan sedang berusaha mengesan kumpulan itu, namun usaha terbabit berdepan kesukaran selepas jalan raya dihanyutkan banjir.
“Tiada akses jalan raya kerana semuanya telah dihanyutkan,” katanya.
Beliau berkata helikopter dikerahkan semalam bagi membantu operasi mencari, manakala dron turut digunakan untuk mengesan kumpulan berkenaan.
Roshan berkata kerja membina semula jalan raya di kawasan terjejas mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya setahun, menyebabkan akses udara menjadi satu-satunya cara untuk sampai ke kawasan berkenaan buat masa ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








