LUAR NEGARA

Banjir Nepal-Tibet: Korban cecah 160, 17 rakyat Malaysia antara ratusan masih hilang

KATHMANDU – Sekurang-kurangnya 160 orang terbunuh manakala ratusan lagi masih hilang selepas banjir lumpur dan tanah runtuh besar melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet semalam.

Bencana yang berlaku di wilayah pergunungan Himalaya itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 17 rakyat Malaysia dilaporkan hilang, selain ratusan pelancong asing dari India, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia dan beberapa negara lain.

Menurut Lembaga Pelancongan Nepal, seramai 384 pelancong dilaporkan tidak dapat dikesan, termasuk 291 warga asing dan 93 rakyat Nepal.

Antara warga asing yang dilaporkan hilang ialah 17 rakyat Malaysia, lebih 100 warga India, 12 rakyat UK, empat Afrika Selatan, tiga AS, seorang Australia dan seorang Belanda. Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menjalankan proses pengesahan dan semakan silang identiti mereka.

nepal
Keadaan sebuah bangunan yang dilanda banjir lumpur di Rasuwa, ibu kota utara Nepal semalam.

Laporan Reuters pula menyebut lebih 400 pelancong masih hilang, termasuk 341 warga asing, manakala di wilayah Tibet yang ditadbir China, tiga kematian dan 265 orang hilang dilaporkan.

Bencana itu melanda kawasan sekitar Sungai Bhote Koshi di daerah Rasuwa, Nepal, berhampiran sempadan China. Arus deras yang membawa lumpur, batu dan serpihan menghanyutkan rumah, kenderaan, jambatan serta memusnahkan sebahagian infrastruktur penting termasuk projek tenaga hidro.

Rakaman kamera litar tertutup yang disahkan media antarabangsa menunjukkan gelombang besar air dan serpihan melanda kawasan sempadan, menyebabkan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri.

Punca sebenar bencana masih dalam siasatan. Agensi berita antarabangsa melaporkan pihak berkuasa Nepal pada awalnya percaya gempa bumi bermagnitud 4.4 mungkin mencetuskan tanah runtuh yang kemudian menghalang aliran sungai sebelum menghasilkan gelombang banjir besar.

Bagaimanapun, laporan AP menyatakan satu lagi kemungkinan ialah runtuhan ais dan batu dari kawasan glasier yang mencetuskan banjir secara tiba-tiba. Imej satelit dan maklumat pihak berkuasa turut menunjukkan berlaku tanah runtuh di kawasan Sungai Lhende di sebelah Tibet.

Di sebelah Tibet, banjir lumpur turut menghentam Gyirong Port, pusat perdagangan dan laluan utama antara China dengan Nepal.

Presiden China, Xi Jinping mengarahkan operasi mencari dan menyelamat secara menyeluruh selepas bencana itu menyebabkan ‘korban besar’ dengan keutamaan diberikan kepada usaha menyelamat mangsa yang hilang dan mengurangkan jumlah korban.

Usaha menyelamat bagaimanapun berdepan kesukaran berikutan kerosakan jalan, jambatan serta gangguan bekalan elektrik dan komunikasi di kawasan terjejas.

Di Malaysia, Wisma Putra sebelum ini memaklumkan Kedutaan Malaysia di Kathmandu menerima laporan bahawa 11 rakyat Malaysia yang dipercayai berada di daerah Rasuwa terputus hubungan susulan gangguan komunikasi dan bekalan elektrik.

Bagaimanapun, kemas kini Lembaga Pelancongan Nepal kemudiannya menyenaraikan 17 rakyat Malaysia sebagai antara pelancong yang masih belum dapat dikesan. Kesemua mereka dilaporkan menggunakan perkhidmatan agensi Fishtail Tours and Travels.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button