Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen perkukuh reformasi institusi – Anwar
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kebebasan institusi Parlimen, selain mematangkan amalan demokrasi berparlimen di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reformasi berkenaan bukan sekadar melibatkan kebebasan dan bidang kuasa Parlimen, malah perlu disusuli peningkatan profesionalisme warga Parlimen serta mutu perbahasan dalam kalangan Ahli Parlimen.
“Saya menghargai semua pihak yang memainkan peranan dalam merealisasikan pembaharuan institusi itu.
“Kerjasama kepimpinan Dewan Negara dan Dewan Rakyat, pihak Kerajaan, Bahagian Undang-Undang serta Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang amat penting dalam menjayakan reformasi berkenaan.
“Reformasi ini bukan sekadar soal kebebasan dan bidang kuasa, tetapi juga tanggungjawab untuk meningkatkan profesionalisme warga Parlimen, mutu perbahasan dan adab dalam berbeza pandangan,” katanya dalam satu hantaran, hari ini.
Beliau berharap autonomi dan kebebasan yang diperkukuh menerusi pelaksanaan akta itu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya melalui kerjasama semua pihak.
Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan Parlimen terus berfungsi sebagai institusi demokrasi yang matang, berwibawa dan mendapat kepercayaan rakyat.
Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan sebahagian daripada usaha reformasi institusi bagi memperkukuh kebebasan Parlimen serta memperkasakan peranannya dalam sistem demokrasi berparlimen negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








