Anwar tidak pernah ketepikan isu Gaza di pentas antarabangsa
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengetepikan isu Palestin, khususnya penderitaan rakyat Gaza, setiap kali menghadiri persidangan antarabangsa termasuk platform pelbagai hala.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri sentiasa membangkitkan isu berkenaan dengan tegas, termasuk ketika berhadapan secara langsung dengan pemimpin negara lain yang mempunyai pendirian berbeza mengenai konflik Palestin-Israel.
Menurutnya, pendirian tegas Anwar bukan sahaja ditunjukkan dalam forum ASEAN, malah turut dibawa dalam sidang BRICS, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan pelbagai platform antarabangsa lain.
“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di mana saja, dalam sidang BRICS, dalam APEC, dalam apa saja peluang peringkat pelbagai hala atau antarabangsa, beliau akan bersuara dengan keras dan tidak pernah tinggal agenda tentang Gaza,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Balik Pulau mengenai pendirian Malaysia dan ASEAN terhadap Palestin di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad berkata, ketegasan Perdana Menteri dalam membangkitkan isu berkenaan turut menuntut perhatian terhadap aspek keselamatan beliau ketika menghadiri persidangan antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia turut berjaya membawa pendirian bersama ASEAN mengenai Palestin apabila blok serantau itu mengeluarkan kenyataan bersama yang mengecam keganasan terhadap rakyat Palestin di Gaza serta pencerobohan peneroka di Tebing Barat.
Menurutnya, pencapaian itu penting kerana ASEAN lazimnya memerlukan konsensus semua negara anggota sebelum sesuatu kenyataan bersama dapat dikeluarkan.
“Semasa kepengerusian kita tempoh hari, kita dapat mengeluarkan kenyataan bersama daripada ASEAN yang mengecam keganasan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Gaza dan pencerobohan oleh peneroka di Tebing Barat,” katanya lagi.
Beliau berkata, pendirian negara-negara Eropah terhadap isu Palestin juga menunjukkan perubahan berbanding sebelum ini, sekali gus memberi ruang kepada usaha berterusan masyarakat antarabangsa untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin.
“Malaysia akan terus membawa isu berkenaan ke peringkat antarabangsa bagi memastikan penderitaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza, tidak diketepikan daripada agenda perbincangan global,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








