Israel guna kelaparan sebagai senjata genosid – Amnesty International
Dilaksanakan dengan bantuan agensi kemanusiaan AS
LONDON – Amnesty International mendedahkan, Israel menggunakan kelaparan sebagai senjata untuk melakukan jenayah genosid, dengan kerjasama agensi kemanusiaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Laporan yang diterbitkan 3 Julai itu berkata, dalam tempoh sebulan selepas skim bantuan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) itu dilancarkan, ratusan rakyat Palestin terbunuh manakala ribuan lagi cedera sama ada berhampiran lokasi agihan atau dalam perjalanan ke konvoi bantuan.

“Bukti yang dikumpulkan Amnesty International menunjukkan, selepas pelaksanaan sistem agihan bantuan yang dikawal tentera, Israel terus menggunakan kelaparan terhadap orang awam sebagai senjata perang terhadap rakyat Palestin di Genting Gaza yang diduduki.
“Ini adalah tindakan sengaja mewujudkan keadaan hidup yang direka untuk memusnahkan secara fizikal sebagai sebahagian daripada genosid yang sedang berlangsung,” kata laporan itu.
GHF merupakan sebuah agensi berpangkalan di AS yang diketuai oleh paderi Kristian, Rev. Johnny Moore.
Kerajaan AS menyokong skim agihan bantuan tersebut dan turut menyediakan dana kepadanya.
Selain kawalan tentera Israel, GHF turut menggunakan tentera upahan daripada agensi keselamatan UG Solutions bagi mengawal lokasi pengagihan.
Laporan media sebelum ini menyebut, antaranya diterbitkan oleh media Israel sendiri seperti Haaretz, beberapa anggota tentera rejim zionis mengaku bahawa mereka diarahkan untuk melepaskan tembakan ke arah orang awam yang tidak bersenjata.
Terbaharu, laporan AP mendedahkan, tentera upahan yang diupah mengawal pusat pengagihan turut mengaku tembakan menggunakan peluru hidup dilepaskan kepada orang ramai yang sedang menunggu bantuan makanan.
Sejak hujung Mei, GHF didakwa mengagihkan bantuan kurang daripada yang diperlukan kepada jutaan penduduk Palestin yang sedang kelaparan di Gaza.
Kaedah agihan bantuan tersebut dilaporkan bersifat menghina dan menyebabkan kekacauan apabila orang ramai yang terdesak berebut untuk mendapatkan makanan.
Walaupun berdepan risiko maut, kebanyakan penduduk Gaza memilih untuk ke lokasi agihan kerana kelaparan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








