Dekan fakulti Universiti Islam Gaza maut di tangan Israel
KUALA LUMPUR – Seorang bekas pelajar sebuah universiti Islam di negara ini dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel di Palestin baru-baru ini.
Mangsa, Dr. Tayseer Ibrahim, merupakan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Gaza.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
“Pagi ini menerima perkhabaran duka apabila seorang lagi alumni universiti Islam di Malaysia terkorban syahid akibat dibunuh dengan kejam oleh Regim Kolonial Pengganas Zionis Israel.
“Moga Allah kurniakan syurga jannah tanpa hisab kepada as-Syahid Dr Tayseer Ibrahim, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Islam Gaza,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Asyraf menyeru umat Islam di negara ini supaya terus mendoakan keselamatan umat Islam di Palestin.
“Jangan berhenti mendoakan saudara-saudara Islam kita di Palestin!,” katanya.
Serangan Israel di Semenanjung Gaza yang tercetus sejak Sabtu lalu sehingga kini telah mengorbankan 1,537 nyawa rakyat Palestin melibatkan kira-kira 500 kanak-kanak dan 276 wanita.
Kementerian Kesihatan Palestin turut merekodkan 6,612 mangsa cedera sepanjang kekejaman tentera Zionis itu mengganas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








